Pilih Bahasa

PKS mikro Sabah perlu ambil kesempatan daftar GKP – Abdul Rahim

KOTA KINABALU, 7 Mei  — Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro di Sabah khususnya dari luar bandar, sewajarnya mengambil kesempatan segera untuk mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum tarikh tutup yang telah ditetapkan iaitu 15 Mei depan, bagi mendapatkan kemudahan Geran Khas Prihatin (GKP).

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, pendaftaran tersebut boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://gkp.hasil.gov.my/, dengan syarat yang terkandung di dalamnya.

Datuk Abdul Rahim Bakri. Gambar Bernama

“Ini bagi membolehkan mereka mendapat faedah GKP sebanyak RM3,000 yang telah sedia diperuntukkan, oleh Kerajaan Persekutuan.

“PKS mikro di Sabah yang berdaftar dengan LHDN baru sekitar 22,940 syarikat. Ini baru sekitar tiga peratus daripada jumlah PKS mikro di seluruh negara, iaitu 700,000 ribu dan secara relatifnya jumlah tersebut masih terlalu kecil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, jika mengikut pembahagian purata mengikut negeri, PKS mikro di Sabah yang sepatutnya berdaftar disasarkan antara 50,000 hingga 60,000.

“Maklumat yang kurang akibat penetrasi masih terhad serta kurangnya literasi internet, menyebabkan kekangan dan PKS mikro di Sabah sedikit tertinggal. Oleh itu adalah wajar sekiranya persatuan-persatuan mewakili penjaja PKS mikro ini, membantu meningkatkan kesedaran berkenaan,” tambahnya.

— BERNAMA