Pilih Bahasa

PKS Perlu Manfaat Peluang Disedia Kerajaan – Mohd Izham

Mohd Izham ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis berkenaan. Gambar SNT/Ehsan Jabatan Penerangan

KOTA KINABALU: Para pemain industri kecil dan sederhana di negeri ini disaran memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan agar lebih berdaya saing.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Bumiputera, SME Corp. Malaysia, Mohd Izham Abdullah dalam ucapan alu-aluan pada majlis perasmian Siri Latihan dan Promosi Program GEB 2018 di sini, pagi tadi, berkata pada tahun ini, pihaknya telah merancang 11 siri Latihan dan Promosi Galakan Eksport Bumiputera (GEB) sepanjang tahun.

Beliau turut menjelaskan tujuan kursus dua hari itu adalah untuk meningkatkan pemahaman peserta dalam proses, prosedur dan dokumentasi berkaitan eksport serta peluang-peluang eksport sedia ada.

Tambah beliau melalui program tersebut para peserta dapat membincangkan perancangan eksport dan meningkatkan kemahiran pemasaran eksport syarikat PKS bumiputera yang berpotensi.

Menyentuh berkaitan Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB), Izham mendedahkan tujuan pihaknya adalah untuk membantu PKS Bumiputera menerokai pasaran antara bangsa supaya lebih berdaya saing dan berkeyakinan untuk meningkatkan keupayaan eksport.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Madiyem Layapan yang mewakili Menteri Perdagangan dan Perindustrian Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan turut dihadiri Pengarah SME Corp Sabah, Muhd Hamdi Salleh./Penerangan-