Pilih Bahasa

PM tahan bot nelayan Vietnam kaut hasil laut

Oleh Junaidi Ladjana

PPM Labuan memeriksa dokumen juragan dan kru bot warga Vietnam ketika ditahan dalam Ops Gelora di Labuan. – Gambar SNT/Ihsan PPM Labuan

LABUAN: Helah sebuah bot nelayan Vietnam mengaut hasil gamat atau balat dengan berselindung di sebalik bot klon, gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin semalam.

Bot bersama juragan dan empat kru warga Vietnam ditahan di kedudukan laut Beting Jahat, 15 batu nautika utara Tanjung Kubong, kira-kira pukul 11 pagi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bot nelayan asing dinaiki lima lelaki termasuk juragan ditahan bot ronda PPM Labuan ketika menjalankan tugas Op Gelora.

 “Hasil pemeriksaan mendapati juragan menunjukkan lesen pukat rantau berdaftar di Kudat dan bot perikanan Vietnam itu disyaki klon.

“Juragan dan empat kru warga Vietnam ditahan kerana menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya di sini.

Mohamad Pajeri berkata, pemeriksaan lanjut menemui alat menangkap gamat atau balat.

“Bot dan tangkapan suspek berusia 27 hingga 37 tahun diiring masuk ke Pangkalan PPM Labuan dan kes akan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Labuan untuk siasatan lanjut.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan bernilai RM462,500,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksysn 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – SabahNewsToday