Pilih Bahasa

POKOK TUMBANG DILANDA RIBUT BUKAN PEMBALAKAN HARAM

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Imej diambil menggunakan drone pada tahun lalu menunjukkan pokok-pokok yang tumbang akibat ribut. – Gambar SNT / Ehsan Jabatan Perhutanan Sabah

SANDAKAN: Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) menafikan dakwaan berlaku kes pembalakan haram di Taman Hutan Hujan Sandakan (Hutan Simpan Kebun Cina) di sini.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Mohd Jaini berkata dakwaan kononnya berlaku pembalakan haram di kawasan itu seperti yang tersebar dan tular di media sosial mengenai kerosakan hutan telah menjejaskan imej jabatan tersebut dan kerajaan negeri.

“Tiada kes pembalakan haram di Taman Hutan Hujan Sandakan pada 17 Januari lalu seperti yang tular dalam video itu.

Aktiviti membersihkan pokok-pokok yang tumbang semasa ribut oleh kakitangan Jabatan Perhutanan Sabah. – Gambar SNT / Ehsan Jabatan Perhutanan Sabah

“Apa yang terjadi adalah hutan itu dilanda ribut yang mengakibatkan banyak pokok telah tumbang. Selain itu, kemudahan rekreasi dan riadah di Hutan Simpan Kebun Cina seperti trail dan jambatan juga mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, beliau telah mengarahkan kerja pembersihan pokok yang tumbang dan pokok yang condong atau rosak serta membahayakan keselamatan pengguna.

Kawasan yang telah selesai dibersihkan dan boleh ditanam semula dengan pokok dengan spesies cepat tumbuh. – Gambar SNT / Ehsan Jabatan Perhutanan Sabah

Katanya kerja pembersihan itu dilakukan secara bergotong royong melibatkan kakitangan Pejabat Perhutanan Daerah Sandakan dan Pusat Penyelidikan Perhutanan, Sepilok dan mengarahkan penanaman semula pokok dengan spesies yang cepat tumbuh.

“Oleh itu semua sisa-sisa pokok tumbang perlu dibersihkan untuk memudahkan kerja penanaman semula pokok di kawasan terlibat.

Kemudahan-kemudahan rekreasi dan riadah yang rosak akibat ribut. – Gambar SNT / Ehsan Jabatan Perhutanan Sabah

“Kami juga berterima kasih di atas sikap prihatin warga Sandakan yang peka dengan perkara ini. Kami sentiasa memberikan komitmen dalam menangnai kes-kes seumpama ini pada masa hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut menggesa pihak yang mempunyai keraguan berkaitan perhutanan boleh menghubungi SFD untuk pengesahan lanjut.

Jambatan di Taman Hutan Hujan Sandakan yang rosak akibat kejadian ribut pada Disember lalu. – Gambar SNT / Ehsan Jabatan Perhutanan Sabah

Katanya cara itu adalah lebih baik untuk menjelaskan sesuatu isu berbangkit berbanding menularkannya di media sosial kerana tindakan itu boleh menimbulkan perspektif negatif terhadap kerajaan negeri. – SabahNewsToday