Pilih Bahasa

Polis belum terima panggilan tuntut wang tebusan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Polis belum menerima sebarang panggilan telefon menuntut bayaran tebusan untuk lima nelayan warga Indonesia yang dilarikan kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) di perairan Tambisan, 15 Januari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata pihaknya masih menunggu perkembangan berhubung maklumat semua mangsa culik daripada pasukan keselamatan negara jiran.

Omar Mammah berucap selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu. Gambar SNT

“Setakat ini kita belum menerima maklumat sebarang permintaan wang tebusan daripada kumpulan suspek yang melakukan penculikan itu.

“Kita sedang menjalankan siasatan dalang sebenar enam suspek yang melakukan penculikan itu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan terus melakukan tindakan selaras dengan kehendak undang-undang dan tugas polis bagi menjalankan operasi bagi meningkatkan kehadiran polis di kawasan pantai timur Sabah khususnya berhampiran dengan sempadan negara jiran.

“Kita sudah laksanakan daripada dulu hingga kini dan sebagai mana yang dimaklumkan sebelum ini usaha mengekang dan menggagalkan cubaan culik giat dilakukan.

“Seperti yang tersiar dalam akhbar baru-baru ini, sebanyak 40 cubaan culik sejak 2018 dapat dikekang melalui usaha pencegahan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi keselamatan yang lain.

“Ini adalah usaha menjaga keselamatan perairan negara khususnya di pantai timur Sabah daripada diceroboh oleh penjenayah untuk melakukan penculikan,” katanya.

Terdahulu Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali mengesahkan pihaknya menerima laporan kapal nelayan hilang kira-kira jam 1 tengah hari, 16 Januari lalu, sebelum menggerakkan aset laut dan udara untuk mengesan semua mangsa.

Kejadian dipercayai berlaku pada 15 Januari lalu, namun dilaporkan diterima pada keesokknya dengan kelima-lima mangsa nelayan warga Indonesia dipercayai dibawa lari ke perairan selatan Filipina oleh sekumpulan enam suspek bersenjata.

Kapal nelayan itu berdaftar di Sandakan ditemui di perairan Tangusu Bay iaitu lokasi berhampiran kes penculikan sebelum ini. – SabahNewsToday