Pilih Bahasa

`Polis Boy’ menyamar polis diberkas

Oleh Nasrawati Syarifuddin

`Polis Boy’ dipercayai menyamar sebagai anggota polis ditahan pasukan polis Tawau. – Gambar SNT/ hsan IPD Tawau

TAWAU: Gara-gara menyamar sebagai anggota polis, seorang lelaki yang menggunakan identiti `Polis Boy’ ditahan di sebuah kedai runcit di Dumpas dekat sini pukul 1.45 petang semalam

Penyamaran itu suspek berusia 23 tahun itu difahamkan bagi menjalankan urusan pembebasan Orang Kena Tahan (OKT).

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata siasatan mendapati pada 16 Mac lalu seorang pengadu yang juga mangsa berusia 41 tahun didatangi seorang lelaki kononnya diarahkan suspek iaitu untuk mengambil RM2,000 bagi urusan pembebasan jiran mangsa yang ditangkap atas kesalahan tidak memiliki dokumen.

Polis turut merampas wang tunai RM500. – Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

“Seminggu selepas kejadian, mangsa yang bekerja sebagai buruh ladang menghubungi suspek untuk mengetahui perkembangan pembebasan jirannya.

“Suspek kemudian memberi alasan kononnya OKT tidak boleh dibebaskan lagi dan meminta bayaran tambahan RM500 dengan kadar segera untuk urusan pembebasan rakan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Nor Azizulkifli berkata pada Jumaat lalu kira-kira pukul 3 petang mangsa dihubungi sekali lagi oleh suspek untuk menyediakan wang terbabit. 

“Mangsa semakin bimbang dan rasa tertipu dengan kata-kata suspek berkenaan pembebasan rakannya. Mangsa kemudian bertindak melaporkan kejadian terbabit kepada pihak polis,” katanya.

Nor Azizulkifli berkata susulan kejadian itu suspek berjaya ditahan dan mengaku terbabit dalam kes berkenaan,”katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM500 dan borang perjanjian manakala kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – SabahNewsToday