Pilih Bahasa

Polis buka enam kertas siasatan PRK Sandakan

Oleh Mohd Adam Arinin

Omar Mammah pada sidang media di IPD Sandakan. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

SANDAKAN: Polis membuka enam kertas siasatan daripada 12 laporan yang diterima sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan sehingga tengah malam semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata tiga daripada kertas siasatan itu membabitkan laporan berkaitan perbuatan khianat poster dan banting.

“Dua laporan kita akan siasat di bawah Seksyen 427 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan satu di bawah Seksyen 426 akta yang sama.

“Tiga lagi laporan yang kita terima masing-masing di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menyebarkan fitnah yang boleh membawa aib, Seksyen 24 (b) Akta Pilihan Raya 1954 kerana mengadakan ceramah tanpa permit polis dan Seksyen 10 (a) akta yang sama mengenai pemberian wang kepada pengundi,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, di sini hari ini.

Menurut Omar, kesemua laporan polis yang dibuat oleh calon dan wakil parti politik yang bertanding telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, bagaimanapun, keputusan yang diberi tiada tindakan lanjut dikenakan.

“Berikutan soal keselamatan ketika mengundi, pihak polis Kontinjen Sabah telah menugaskan seramai 874 pegawai dan anggota bagi semua elemen penugasan di PRK Sandakan kali ini,” katanya.

Tambah Omar, jaminan keadaan keselamatan di daerah ini terkawal termasuk di sempadan perairan yang melibatkan penugasan Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditempatkan di Pulau Langkayan, Selingan dan Nunuyan. – SabahNewsToday