Pilih Bahasa

Polis buru lelaki rogol anak angkat

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Selepas lebih 14 tahun menjadi mangsa rogol bapa angkat, seorang wanita bertindak nekad membuat laporan berhubung perbuatan jijik lelaki itu kepada pihak polis.

Mangsa yang kini berusia 27 tahun dirogol sejak 2004 hingga Disember tahun lalu di rumah suspek diantara pukul 10 malam hingga 3 pagi.

Suspek yang diburu polis. Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata mangsa dijaga oleh suspek dikenali sebagai Mohd Insang berusia lingkungan 50 tahun sejak ibu bapa mangsa bercerai.

“Mangsa sering dirogol di rumah suspek dan tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa termasuk tidak melaporkan kepada pihak polis kerana diugut akan dibunuh oleh suspek.

“Sehingga pada Disember 2018 lalu, mangsa mengambil keputusan untuk keluar daripada rumah suspek dan tinggal bersama dengan ibunya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata ekoran kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) daerah ini, 28 Julai lalu.

“Orang ramai diminta membuat laporan polis di balai polis berhampiran jika mengetahui keberadaan suspek.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya. – SabahNewsToday