Pilih Bahasa

Polis buru lima lelaki pecah rumah, rugi RM54 ribu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Polis sedang giat memburu lima lelaki dipercayai terbabit kes pecah rumah dan curi di Taman Green, Jalan Sin Onn, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, pemilik rumah Lo Ket Yung, 35, mengalami kerugian RM54,000.

Gambar diambil melalui video rakaman litar tertutup (CCTV) dalam rumah mangsa menunjukkan kelima-lima suspek masuk ke dalam rumah melalui tingkap dapur. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, mangsa yang bekerja sebagai mekanik mendapat panggilan daripada ibunya pukul 5.12 petang berhubung kejadian tersebut sebelum bertindak pulang ke rumah.

“Hasil siasatan menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) yang dipasang menghala ke arah dapur rumah mangsa mendapati lima suspek tidak bertopeng bertindak masuk selepas merosakkan besi di bahagian tingkap dapur berkenaan.

“Kerugian mangsa dianggarkan bernilai RM54,000 selepas didapati banyak barangan berharga hilang dipercayai dilarikan suspek selain terdapat harta benda yang rosak.

“Usaha mengesan kelima-lima suspek kini sedang dilakukan dan orang ramai yang mengenali suspek dalam rakaman CCTV boleh melaporkan kepada pihak polis,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. – SabahNewsToday