Pilih Bahasa

Polis buru suspek bakar dan letup bangunan di Jalan Bundusan, sampai dapat

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis akan memburu semua individu yang terbabit dalam kejadian bakar restoran dan letupan dipercayai menggunakan molotov cocktail di sebuah bangunan di Jalan Bundusan, Penampang, baru-baru ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, pihaknya telah membuka dua kertas siasatan membabitkan dua kejadian berasingan di lokasi bangunan yang sama.

Lakaran wajah suspek yang terbabit dalam kejadian bakar restoran dan letupan di sebuah bangunan di Jalan Bundusan, Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kejadian pertama membabitkan sebuah premis makanan disyaki dibakar menggunakan petrol dan tiga lelaki disyaki terbabit dalam kejadian itu.

“Kejadian kedua pada 15 Disember lalu, seorang lelaki disyaki memakai baju sejuk bertopi dan berjalan kaki sambil memegang bekas plastik berisi bom molotov cocktail.

“Suspek kemudian meletakkan molotov cocktail di satu anak tangga bangunan dan menyalahkan sumbu lalu berlaku letupan. Suspek turun menabur beberapa helai kertas yang bertulis tangan ke koridor berhampiran,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Zaini berkata hasil siasatan yang dilakukan menimbulkan diskripsi suspek iaitu seorang lelaki berusia 40 tahun.

“Polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian adalah faktor dendam dan tidak puas hati namun siasatan sedang dilakukan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass bersama pegawainya menunujukkan lakaran wajah suspek yang terbabit dalam kejadian bakar restoran dan letupan di sebuah bangunan di Jalan Bundusan, Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan usaha memburu semua suspek itu digiat dilakukan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kedua-dua kes ini diminta tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan isu berkaitan kes ini telah tular di media sosial sejak 10 hari lalu.

Pada 1 Disember lalu juga, seorang kanak-kanak perempuan berusia satu tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan berkenaan.

Rakaman CCTV kejadian itu turut tular hingga mengundang pelbagai komen oleh warganet. -SabahNewsToday