Pilih Bahasa

‘Polis’ comel curi tumpuan

Oleh Junaidi Ladjana

Hafiy (tengah) bergambar bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Wajah comel tampak segak dengan mengenakan seragam pegawai kanan polis berpangkat Asisten Komisioner Polis menyebabkan Hafiy Nazhan Habibi menjadi perhatian.

Bukan sahaja ‘diminati’ orang ramai, malah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan jemaah menteri negeri turut mengambil gambar dan berswafoto bersama.

Hafiy berusia lapan tahun dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya, hadir seawal 5 pagi bersama bapanya yang juga Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji di lokasi sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Jalan Tun Fuad Stephens, di sini.

Hafiy bersama bapanya yang juga Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji mengibarkan bendera sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah 2019. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Kelibat Hafiy lengkap berpakaian seragam pegawai kanan polis bersama bapanya mencuri tumpuan.

Malah, Hafiy kelihatan mengenakan pangkat ACP menyebabkan orang ramai menggelarnya sebagai ‘Junior’ Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu.

“Datuk, bapa dan bapa saudara saya polis… cita-cita memang nak jadi seperti mereka,” katanya sambil tersenyum melihat bapanya.

Sementara itu, Habibi berkata, sejak usianya empat tahun, Hafiy tidak pernah melepaskan peluang untuk serta bersamanya ke Dataran Merdeka Kuala Lumpur bagi Sambutan Hari Kebangsaan.

“Ketika bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Hafiy ketika itu berusia empat tahun sentiasa menemani saya ke dataran merdeka.

“Hafiy memang minat dan bercita-cita mengikut langkah saya dan datuknya sebagai anggota polis.

“Persiapan pakaian Hafiy hari ini disediaman oleh isteri kerana Hafiy bersemangat untuk turut serta menyambut Hari Kebangsaan,” jelasnya. – SabahNewsToday