Pilih Bahasa

Polis dan Esscom rampas rokok seludup bernilai lebih RM700 ribu, terbesar di Tawau tahun ini

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Sepasukan polis bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya merampas 47,633 bungkus rokok seludup dianggarkan bernilai RM735,342 di sebuah bengkel membaiki kenderaan, Batu 5, Jalan Apas, 21 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Nor Azizulkifli Mansor berkata berdasarkan risikan dan maklumat daripada orang awam, pihaknya menjalankan serbuan Operasi Khas Esscom pukul 9.30 malam di bengkel terbabit.

Rokok seludup ditemui dalam bengkel ini. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Dalam pemeriksaan berkenaan, kita menjumpai 47,633 bungkus rokok pelbagai jenama dipercayai tidak memiliki kelulusan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya dalam sidang media, di Balai Polis Lama, tadi.

Beliau berkata susulan kejadian itu pihaknya berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai terbabit dalam kes ini, di Jalan Haji Salleh, di sini, kira-kira pukul 1 pagi, 22 Mei.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 23 hingga 29 Mei dan kini kes masih dalam siasatan.

Antara rokok seludup yang dirampas. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Kita turut merampas lima kenderaan iaitu tiga lori dan dua pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipercayai digunakan untuk mengangkut rokok terbabit,”katanya.

Nor Azizulkifli berkata beliau tidak menolak kemungkinan kes ini ada kaitan dengan beberapa tangkapan yang berlaku sebelum ini.

“Ini adalah tangkapan rokok terbesar pihak polis setakat ini dan kita akan membuat tangkapan suspek lain berhubung kes ini.

“Semua barangan dirampas dan diserahkan kepada pihak JKDM untuk siasatan dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – SabahNewsToday