Pilih Bahasa

Polis gempur sarang dadah di Likas

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seramai 10 lelaki ditahan atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah melalui Operasi Khas ‘Op Ice Breaker’ yang dijalankan di kawasan Kampung Likas, di sini semalam.

Operasi yang bermula jam 11 pagi hingga enam petang itu menumpukan kawasan sekitar yang dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti penyalahgunaan dadah.

Sebahagian individu yang ditahan dalam Op Ice Breaker di Kampung Likas. Gambar SNT/Ihsan PDRM

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, operasi khas itu dijalankan dengan kekuatan seramai 12 pegawai dan 136 anggota membabitkan pelbagai jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, dalam operasi itu, seramai 101 individu termasuk tiga wanita ditahan untuk pemeriksaan ujian saringan air kencing.

“Hasil daripada ujian itu, 10 lelaki membabitkan tujuh warga tempatan dan tiga warga asing ditahan selepas didapati positif dadah.

“Operasi turut berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedar dadah di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui media.

Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. Gambar SNT/Ihsan PDRM

Mohd Khalil berkata polis turut berjaya merampas sebanyak 9.60 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM1,440 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Operasi seumpama ini akan diadakan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah daripada berleluasa.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti jenayah dadah juga diminta menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan segera,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama. -SabahNewsToday