Pilih Bahasa

Polis Kota Kinabalu siasat kesahihan video pelajar bergaduh di sekolah

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis akan menyiasat kesahihan video tular yang memaparkan sekumpulan pelajar membelasah seorang pelajar termasuk memukul dengan menggunakan kayu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya belum menerima laporan polis mengenai pergaduhan membabitkan kumpulan pelajar itu.

Polis sedang menyiasat kejadian pergaduhan yang dirakamkan dalam video. Gambar SNT/Sumber Media Sosial

Bagaimanapun katanya, polis menunggu pihak sekolah yang terbabit dalam kejadian itu untuk berhubung dengan polis.

“Kita tidak menerima laporan lagi dan menunggu pihak sekolah untuk berhubung dengan polis bagi memastikan kejadian itu benar-benar berlaku di sekolah itu atau sebaliknya.

“Saya sendiri melihat video pergaduhan itu di media sosial yang mana terdapat sekumpulan pelajar bergaduh sesama sendiri.

Screengrab dari klip video tular menunjukkan seorang pelajar dibelasah. Gambar SNT/Sumber Media Sosial

“Polis amat mengambil berat kes ini dan siasatan akan dijalankan terhadap pelajar yang terbabit dalam video itu jika benar berlaku di daerah ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Watika Perlantikan Pengawas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya, di sini, hari ini.

Habibi berkata pihaknya akan memanggil beberapa saksi sekirannya benar kejadian itu berlaku.

Sejak semalam, tular video memaparkan seorang pelajar dibelasah sekumpulan pelajar lain di sebuah sekolah di daerah ini dan ada antara mereka menggunakan kayu.

Video berdurasi 49 saat itu turut memaparkan beberapa pelajar yang melihat pergaduhan itu kemudian campur tangan hingga menyebabkan pergaduhan sesama sendiri.

Sementara itu, mengenai program berkenaan, Habibi berkata diharapkan kolaborasi antara polis dan Jabatan Pendidikan khasnya SK Sri Gaya akan berpanjangan seperti mana slogan PDRM ‘Polis dan masyarakat berpisah tiada’.

“InsyaAllah, selepas ini bukan sahaja kolaborasi seperti ini tetapi akan berlanjutan bermacam-macam program yang kita buat untuk memastikan tahap disiplin dikalangan pelajar bukan sahaja sekolah menengah tetapi sekolah rendah juga terkawal.

“Selepas ini, insyaAllah saya dengan guru besar pihak sekolah akan membuat beberapa siri program untuk memastikan kita dalam keadaan selamat dan sejahtera terutama murid-murid sekolah di daerah ini daripada jenayah termasuk buli,” katanya. – SabahNewsToday