Pilih Bahasa

Polis lupus barangan kes perjudian dan DVD bernilai RM886,355

Oleh Junaidi Ladjana

Omar (tiga dari kiri) memeriksa kotak berisi DVD dan VCD yang akan dilupuskan di Stor Barang Kes Berpusat IPK Sabah Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan IPK Sabah

Kota Kinabalu: Polis melupuskan sebanyak 1,242 mesin judi dan peralatan elektronik berkaitan aktiviti judi siber bernilai RM248,000 di Stor Barang Kes Berpusat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Jalan Padang Tembak, di sini semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, semua barang kes untuk aktiviti perjudian itu membabitkan 23 kertas siasatan pada 2002 hingga 2014 yang sudah selesai dan mendapat arahan pelupusan oleh pihak mahkamah.

Menurut beliau pihaknya turut melupuskan 127,671 keping DVD cakera padat digital (DVD) dan video cakera padat (VCD) tanpa sijil B membabitkan nilai RM638,355 yang berjaya dirampas dalam tempoh 2009 hingga tahun lalu membabitkan kejayaan pendakwaaan sebanyak 27 kertas siasatan.

“Kita melupuskan 311 monitor, 310 CPU, 35 mesin judi bersama 586 lain-lain peralatan perjudian siber dan DVD serta VCD yang berjaya dirampas dan didakwa di mahkamah.

“Semua barang yang dilupuskan hari ini adalah kejayaan polis dalam usaha membanteras kegiatan perjudian haram dan penjualan DVD serta VCD cetak rompak di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelupusan barangan kes berkenaan.

Peralatan perjudian yang dilupuskan pada majlis berkenaan di Stor Barang Kes Berpusat IPK Sabah, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan IKP Sabah

Omar berkata pelupusan barangan berkenaan menggunakan kaedah bahan sisa buangan elektronik (E-waste) sejajar prosedur Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang lebih selamat dan sesuai dengan konsep hijau.

“E-waste adalah barang yang tidak digunakan lagi dan dikategorikan sebagai bahan buangan kerana mempunyai ciri mudah terbakar, boleh menghakis, toksik dan memberi impak kepada kesihatan manusia serta alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya memandang serius dan mengambil tindakan membendung kegiatan perjudian dan bahan cetak rompak serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak kerana kegiatan ini hanya akan merugikan negara dan rakyat secara amnya.

“Polis sentiasa bertindak agresif dalam menangani isu ini terutamanya membabitkan judi siber dan terus memantau aktiviti itu dari semasa ke semasa,” katanya. – SabahNewsToday