Pilih Bahasa

POLIS MARIN GAGALKAN CUBAAN BAWA KELUAR 445 LITER MINYAK PETROL KE NEGARA JIRAN

Oleh Alfred Petrus

KUDAT: Cubaan seorang lelaki membawa minyak petrol ke negara jiran berjaya ditumpaskan oleh sepasukan polis Marin, pada Khamis malam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata tangkapan terhadap seorang lelaki, 40, pemegang kad IMM13 itu dibuat melalui Operasi Landai Khas oleh sepasukan anggota Unit Risikan Marin Kudat.

445 liter petrol yang cuba dibawa ke negara jiran. Gambar SNT/Ihsan Polis Marin

Mohamad Pajeri berkata ketika operasi, pihaknya memeriksa sebuah kapal nelayan jenis pancing di Jeti Angkasa Baru, Kudat pada pukul 10.40 malam.

“Hasil pemeriksaan di dalam kapal nelayan tersebut telah menemukan sembilan jerikin atau 445 liter minyak petrol yang dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati juragan seorang lelaki berumur 40 tahun yang juga pemegang IMM13 gagal menunjukkan dokumen dan permit kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Juragan yang ditahan bersama minyak petrol semasa Ops Landai Khas. Gambar SNT/Ihsan Polis Marin

“Kesalahan yang dilakukan adalah di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dalam menimbulkan syak munasabah akan melakukan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya nilai rampasan minyak petrol dan kapal nelayan tersebut dianggarkan sejumlah RM70,445.50.

Menurutnya tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kudat untuk tindakan dan serahan kes kepada KPDNHEP untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Mohamad Pajeri menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan barang-barang kawalan bagi memastikan bekalan negeri mencukupi. -SabahNewsToday