Pilih Bahasa

POLIS MARIN GAGALKAN CUBAAN SELUDUP KELUAR MIGRAN, PETROL DAN GAS LPG

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Pasukan Polis Marin Sandakan berjaya mematahkan cubaan seludup keluar migran terdiri daripada 10 individu berusia antara 22 sehingga 58 tahun dipercayai ke negara jiran dalam Op Pensura semalam. – Gambar SNT/ Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin Sandakan berjaya mematahkan cubaan seludup keluar migran dipercayai ke negara jiran dalam Op Pensura, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam itu, pihak berkuasa menahan 10 orang menumpang berusia antara 22 sehingga 58 tahun yang tidak memiliki keterangan diri yang sah dalam sebuah kapal nelayan yang menghala ke arah laut lepas di perairan Pulau Berhala.

Barangan rampasan iaitu 11 tong gas LPG Petronas dan dua  jenama MyGaz selain 12 tong berisi minyak petrol dipercayai cuba diseludup keluar ke nenara jiran. – Gambar SNT/ Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata siasatan ke atas semua individu itu mendapati keseluruhan penumpang terbabit mengakui ingin ke Pulau Tabawan, Filipina tanpa melalui jalan yang diwartakan.

Mohamad Pajeri berkata hasil pemeriksaan lanjut dalam kapal sama juga menjumpai 11 tong gas LPG Petronas dan dua  jenama MyGaz selain 12 tong berisi minyak petrol dipercayai turut mahu dibawa ke negara jiran tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.

“Hal ini disahkan oleh juragan kapal yang juga seorang lelaki warga asing berumur 49 tahun. Semua barangan ini dipercayai hendak diseludup keluar untuk pasaran di negara jiran berhampiran. 

“Selain tong gas dan minyak petrol, kita turut merampas sebuah kapal nelayan serta  enjin  jenama Nissan 180 kuasa kuda menjadikan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM96,200,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi berkenaan dilaksanakan selepas menerima maklumat disalurkan oleh Unit Risikan Marin (URM) dan berjaya mengesan kapal nelayan yang dilaporkan.

Menurutnya, semua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut. 

Kes disiasat menigkut Seksyen 26(J) ATIPSOM 2007 (Pindaan 2010) iaitu kesalahan mengangkut migran yang diseludup dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun serta boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya manakala bagi Akta Kawalan dan Bekalan 1961, kesalahan mengikut Seksyen 31, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum satu juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. 

Bagi kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga (JPDS) pula, kesalahan yang  dilakukan boleh menyebabkan lesen dibatalkan. – SabahNews Today