Pilih Bahasa

POLIS MARIN LABUAN MENAHAN LELAKI TANPA DOKUMEN PENGENALAN DIRI SAH

Oleh Mohd Nazllie Zainul

LABUAN: Seorang lelaki warga asing ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah Persekutuan Labuan, awal pagi semalam berikutan tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

Dalam tangkapan dilakukan sekitar jam 12.35 pagi itu, suspek berusia 22 tahun berkenaan menaiki sebuah bot dari arah jeti yang tidak diwartakan di kawasan Ujung Pasir dipercayai dalam perjalanan pulang dari berhibur di bandar Labuan.

Seorang lelaki ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah Persekutuan Labuan berikutan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dalam Op Landai Khas di sekitar laut Ujung Pasir, Labuan. Gambar SNT/ Ihsan Pasukan Polis Marin Labuan

Bagaimanapun, sepasukan polis marin yang melaksanakan tugasan Op Landai Khas di sekitar laut Ujung Pasir menahan bot berkenaan untuk tujuan pemeriksaan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Ekoran kesalahan itu, suspek ditahan kerana sudah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c)  Akta Imigresen 1959/63.

“Suspek dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Labuan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Pajeri meminta orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut bagi memelihara keselamatan dan keamanan khususnya di perairan  Sabah sentiasa terjamin.-SabahNews Today