Pilih Bahasa

Polis marin rampas 68 kg minyak masak tanpa dokumen KPDNKK

TAWAU, 28 Dis (Bernama) — Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 68 kilogram minyak masak pelbagai jenama dan tiga tong gas yang tidak memiliki dokumen pengesahan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata dalam Op Gelora Khas yang dijalankan kira-kira jam 5.30 petang semalam di perairan Laut Haji Kuning itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun.

“Pemeriksaan lanjut menemui tiga tong gas, minyak masak jenama cap ros dan cap tiga udang. Jurangan juga gagal menunjukkan sebarang dokumen atau surat pengesahan daripada KPDNKK untuk membawa barang kawalan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Pajeri berkata nilai rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan bernilai RM16,606.40, kesemua rampasan dan tangkapan di bawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

— BERNAMA