Pilih Bahasa

Polis Marin rampas ikan bom pelbagai jenis di pasar malam

Oleh Junaidi Ladjana

Pegawai dan anggota pelbagai agensi menjalankan operasi bersepadu di sekitar pasar malam Dataran Todak, Kota Kinabalu bagi membanteras penjualan ikan bom. – Gambar SNT/Ihsan Polis Marin

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas sebanyak 40 kilogram ikan pelbagaj jenis kerana disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan dalam operasi bersepadu di pasar malam Dataran Todak, Segama, di sini malam tadi.

Dalam operasi pada pukul 8 malam itu, semua ikan berkenaan dirampas anggota PPM Kota Kinabalu di salah sebuah gerai makanan laut di bandar raya ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata operasi itu dijalankan di pasar basah sekitar daerah ini bagi membanteras penjualan ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan.

Keadaan organ dalaman ikan yang pecah kerana disyaki ditangkapkan menggunakan bahan letupan. – Gambar SNT/Ihsan Polis Marin

“Ketika pemeriksaan di sebuah gerai seafood di pasar malam Dataran Todak, Segama mendapati ikan yang dijual disyaki ditangkap menggunakan alat letupan.

“Pemeriksaan lanjut merampas kira-kira 40 kilogram ikan yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata rampasan dibawa ke Pejabat Markas PPM Kota Kinabalu untuk dibuat laporan polis bagi tindakan Jabatan Perikanan Kota Kinabalu.

Anggota PPM bersama agensi yang turut serta dalam operasi bersepadu itu menjalankan pemeriksaan ikan yang dijual di gerai seafood di pasar malam Dataran Todak, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Polis Marin

“Operasi bersepadu ini dijalankan untuk memberi amaran keras kepada semua peniaga supaya tidak sesekali menjual ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) 1985 iaitu menangkap ikan dengan cara menggunakan bahan letupan,” katanya.

Operasi bersepadu itu turut disertai oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perikanan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dengan kekuatan seramai enam pegawai dan 30 angggota. – SabahNewsToday