Pilih Bahasa

POLIS MARIN TAWAU PATAHKAN CUBAAN SELUDUP 45 KARUNG ‘BUNDLE’

Oleh Mohd Adam Arinin

Sebanyak 45 buah karung mengandungi pakaian dan kasut terpakai yang dirampas polis. Gambar SNT/Ehsan PPM Sabah

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup keluar pakaian dan kasut terpakai dianggarkan bernilai RM45,000 ke negara jiran, malam tadi.

Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Superitendan Abdul Nasir Othman dalam satu kenyataan berkata, ketika Op Gelora sedang dijalankan pasukan polis marin telah melihat pergerakan sebuah jongkong keluar dari kawasan muar Sungai Haji Kuning, Tawau.

“Ketika itu pegawai dan anggota yang sedang menjalankan rondaan Op Gelora melihat jongkong terbabit dalam keadaan mencurigakan bergerak ke arah laut dari kawasan muara sungai.

Sebanyak 45 buah karung yang mengandungi barangan terpakai seperti pakaian dan kasut dirampas polis marin di Tawau. Gambar SNT/Ehsan PPM Sabah

“Jurangan jongkong terbabit seorang lelaki warganegara tempatan berusia 30 tahun diarahkan berhenti untuk pemeriksaan. Dan pada ketika itu, pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 25 karung pakaian dan 20 karung kasut pelbagai jenis berada diatas jongkong,” katanya.

Juragan tongkang terbabit juga gagal mengemukakan lesen bot serta mempamerkan nombor pendaftaran bot yang dibawanya.

Juragan tongkang yang ditahan PPM Tawau. Gambar SNT/Ehsan PPM Sabah

Tambah Abdul Nasir, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM72,000 termasuk sebuah unit enjin sangkut yang bernilai RM27,000.

Kesemua barang rampasan dan juragan kot dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat dibawah Akta Kastam 1967 dan dibawah Enakmen Pelabuan dan Dermaga Sabah kerana gagal mengemukakan lesen dan mempamerkan nombor pendaftaran bot. -SabahNewsToday