Pilih Bahasa

Polis MPV maut, motosikal terhumban ke penghadang jambatan

Oleh Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu terlanggar papan tanda jalan sebelum terhumban ke penghadang jambatan Sungai Kibabaig/Baku, Jalan Sapulut-Donggongon, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 1.50 pagi itu, Koperal Constantine Anji, 35, bertugas di cawangan kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mohd Haris Ibrahim. Gambar SNT / Mohd Adam Arinin

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, Constantine yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pogunon, di sini, selepas menemui rakannya.

“Siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal ditunggang Constantine hilang kawalan dan melanggar papan tanda jalan lalu terhumban ke arah penghadang jambatan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah di kepala, leher dan lengan kanan patah disahkan meninggal dunia di oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke HQE I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

“Siasatan juga mendapati ketika kejadian cuaca hujan lebat dan jalan licin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. SabahNewsToday