Pilih Bahasa

Polis nafi 11 lelaki Filipina bersenjata di Beluran

Oleh Nasrawati Syarifuddin

BELURAN: Polis menafikan isu kononnya terdapat 11 lelaki Filipina bersenjata di sebuah ladang di daerah berkenaan yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata isu itu tular melalui aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari ini sehingga mendatangkan kerisauan kepada penduduk daerah terbabit.

Beliau berkata perkara itu tular dalam kalangan pekerja ladang di daerah berkenaan sebelum pihaknya menerima makluman awal.

“Pihak polis menafikan kejadian terbabit dan ia adalah maklumat palsu.

“Tiada sebarang kejadian kemasukan 11 orang warganegara Filipina bersenjata dari Lahad Datu masuk ke kawasan ladang sekitar Beluran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran di talian 089-511222 untuk membuat semakan ataupun pengesahan sebarang maklumat.

Jelasnya lagi tiada sebarang laporan rasmi berhubung kejadian itu diterima oleh pihak polis.

“Bagaimanapun kenyataan media lebih awal dikeluarkan bagi mengelak mesej berkenaan ditularkan dan dapat menjawab persoalan masyarakat,” jelasnya.

Terdahulu mesej berkenaan tular melalui aplikasi whatsapp yang mengatakan masyarakat perlu ambil perhatian kononnya 11 orang Filipina bersenjata dari Lahad Datu sudah masuk ke kawasan ladang. – SabahNewsToday