Pilih Bahasa

Polis Penampang gempur ‘port’ lumba haram

Oleh Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Jalan yang luas dan lurus menyebabkan sekumpulan pemandu kenderaan menjadikan Jalan Penampang Bypass berhadapan Pusat Teknologi & Komersial Antarabangsa Penampang (ITCC) sebagai medan samseng jalanan berlumba haram.

Mereka menjadikan aktiviti berkenaan pada setiap hujung minggu hanya suka-suka menduga kelajuan kenderaan masing-masing tanpa membabitkan sebarang pertaruhan wang.

Kenderaan yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Penampang. -Gambar SNT / Ihsan Polis

Bagaimanapun tindakan mereka tidak bertahan lama apabila berjaya dikesan dalam Op Samseng Jalanan oleh Bahagian Penguatkuasaan san Siasatan Trafik (BPST) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, semalam.

Operasi berkenaan membabitkan kerjasama IPD Penampang dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kekuatan lima pegawai dan 27 anggota.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 6 pagi itu, sebanyak 17 kenderaan pelbagai jenis termasuk berjenama mewah seperti BMW dan Subaru disita dan menahan dua lelaki yang sedang berlumba.

“Polis terlebih dahulu melakukan intipan dan mendapati kedua-dua suspek sedang berlumba dan selepas mereka berhenti di sebuah pusat beli-belah berhampiran, anggota polis bertindak menahannya.

“Kenderaan-kenderaan lain yang berada di situ turut diperiksa dan hasilnya polis menahan sebanyak 17 kenderaan kerana pelbagai jenis kesalahan membabitkan pengubahsuaian.

“Polis turut menahan dua lelaki berusia 20 hingga 32 tahun yang sedang berlumba menggunakan kereta jenis Proton Wira dan Proton Satria di laluan berkenaan,” kata dalam sidang akhbar di IPD Penampang, hari ini.

Mohd Haris menunjukkan kenderaan yang disita selepas ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Penampang. -Gambar SNT / Junaidi Ladjana

Menurutnya, dalam operasi sama, polis mengeluarkan 19 saman manakala JPJ sebanyak 30 saman membabitkan pelbagai kesalahan.

“Operasi membanteras samseng jalanan akan diteruskan dari semasa ke semasa kerana pihaknya selalu mendapat aduan masyarakat mengenai aktiviti lumba haram yang selalu berlaku pada hujung minggu di jalan berkenaan berikutan keadaan jalan yang luas dan lurus.

“Polis akan sentiasa pantau aktiviti itu untuk mencegah kelakukan golongan belia ini kerana mengundang bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

“Saya juga nasihatkan ibubapa supaya sentiasa memantau anak masing-masing daripada terbabit dengan aktiviti berbahaya ini. Saman boleh dibayar tetapi nyawa tiada gantinya,” katanya.

Mohd Haris (kiri) menunjukkan kereta yang ditahan kerana dikesen terbabit lumba haram dalam Op Samseng Jalanan di Penampang. -Gambar SNT / Junaidi Ladjana

Sementara itu, Mohd Haris turut mengingatkan pengguna jalan raya bahawa undang-undang bukan hanya boleh menahan pemandu yang berlumba mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan, malah Seksyen 81 akta yang sama turut membolehkan pihak berkuasa menahan mana-mana pemandu yang memandu laju bersendirian. -SabahNewsToday