Pilih Bahasa

POLIS PERGIATKAN TINDAKAN MERAMPAS SENJATA BUATAN SENDIRI: PJP SABAH

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis Sabah melaksanakan tindakan yang lebih agresif dalam membanteras penggunaan senjata api buatan sendiri atau dikenali sebagai Bakakuk di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata pihaknya akan melaksanakannya bagi merampas serta menghapuskan senjata buatan sendiri seperti bakakuk, ginsok, senapang angin dan apa-apa senjata seumpamanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah (tengah) pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan IPK Sabah di Dataran Pahlawan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Dalam tahun 2018 pihak polis menjalankan siasatan sebanyak 34 kes yang membabitkan empat kematian serta lima mengalami kecederaan disebabkan senjata api buatan sendiri ini.

“Polis juga turut merampas sebanyak 45 laras bakakuk di negeri ini dan sebanyak 12 kes sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan IPK Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), pagi tadi.

Menurut Omar, penggunaan senjata api ini kebanyakkannya direkodkan di Lahad Datu, Tawau serta Keningau.

“Kebanyakkan kes rampasan senjata jenis bakakuk ini melibatkan warga tempatan. Ada diantara mereka yang membuat sendiri senjata ini dan akan dijual kepada orang tengah yang aktif menjalankan kegiatan ini” jelasnya.

Dalam pada itu, Omar juga berkata sepanjang tahun 2018 kadar jenayah indeks di negeri ini merekodkan penurunan sebanyak 91 kes iaitu hanya 6150 kes berbanding 6241 pada tahun sebelumnya.

“Kes melibatkan jenayah narkotik dibawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 menunjukkan penurunan ketara iaitu hanya 109 kes membabitkan 162 tangkapan berbanding 123 dengan 226 tangkapan pada tahun 2017.

“Polis Sabah juga telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini dengan rekod rampasan seberat 104.3 kilogram dengan nilai RM5.2 Juta di Tawau dan kes kedua di Lahad Datu yang juga merupakan rampasan kedua terbesar dengan jumlah berat 51.9 kilogram dengan nilai RM2.5 Juta.” katanya.

Tambah beliau, pihak polis negeri ini telah berjaya menahan seramai 643 suspek membabitkan 1,640 kes dalam jenayah kolar putih serta menyelesaikan kes penipuan Pelaburan Grow Asia atau Musang King yang menyebabkan kerugian sehingga RM3,488,385 pada tahun lalu.

“Kita juga memberikan pemerhatian menyeluruh melibatkan kes perjudian dengan melaksanakan sebanyak 799 serbuan sepanjang tahun lalu dan menahan seramai 1443 individu yang dipercayai terlibat.

“Enam daripada dalang utama kegiatan ini terdiri dari pengusaha premis dihukum mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya. -SabahNewsToday