Pilih Bahasa

POLIS RAMPAS 104.3 KILO SYABU BERNILAI RM5 JUTA – TERBESAR DI SABAH SETAKAT INI

Oleh Sabah News Today

Bungkusan plastik teh Cina yang digunakan untuk pengedaran syabu yang dirampas polis di Tawau, dua hari lalu. Gambar SNT/Ehsan IPD Tawau

TAWAU:  Polis mencipta satu kejayaan terbesar setakat ini di Sabah apabila merampas 104.3 kilogram dadah jenis Syabu dengan nilai pasaran lebih RM5 juta  di sini pada Jumaat.

Empat orang lelaki, 31-39 termasuk dua adik beradik berasal dari Selangor dan Johor turut ditangkap dalam rampasan itu.

Dengan tertangkapnya keempat suspek ini polis percaya telah menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar di negeri ini.

Dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Tawau di sini hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata polis percaya rampasan dadah berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di Lahad Datu yang ditumpaskan baru-baru ini yang turut membabitkan suspek warga tempatan.

Mohmad (tiga dari kiri) dalam sidang media di IPD Tawau. Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah (dua dari kiri). Gambar SNT/Ehsan IPD Tawau

Menurut  Mohmad tiga suspek telah ditahan polis lebih kurang jam 12.30 tengahari yang dikesan sedang membuat urusan pengedaran di Jalan Haji Karim, belakang Mahkamah Tawau.

Beliau berkata sebelum serbuan dibuat seorang suspek dilihat mengeluarkan sebuah beg berwarna hitam daripada sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan yang dinaiki oleh dua orang lelaki lain.

Sejurus itu, polis terus membuat serbuan dan menahan dua lelaki itu manakala seorang lagi suspek tersebut cuba melarikan diri namun gagal melepasi kepungan polis.

Berikutan tangkapan itu, lima minit kemudian satu lagi serbuan dibuat di hadapan sebuah kedai 24-jam di Jalan Bunga berhampiran Jalan Masjid di mana  seorang lagi suspek dipercayai terbabit dengan sindiket pengedaran dadah berkenaan ditahan.

Pemeriksaan terhadap beg berwarna hitam milik suspek didapati mengandungi 20 bungkusan plastik teh Cina iaitu masing-masing 17 bungkusan plastik teh jenama ‘Daguanyin’ berwarna emas dan tiga bungkusan plastik teh Cina jenama ‘Guanyingwang’ yang semuanya berisi dadah jenis syabu.

Sementara itu, 30 bungkusan plastik teh Cina tiada jenama berwarna emas yang di dalamnya mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu ditemui dalam sebuah beg disimpan dalam but kereta Perodua Bezza.

“Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi turut menemui 20 bungkusan plastik yang sama (teh Cina) tiada jenama, lapan bungkusan teh Cina jenama Daguanyin, 22 bungkusan Guanyinwang berwarna hijau yang masing-masing diletakkan di bahagian bonet dan belakang kereta berkenaan,” katanya.

Mohmad berkata siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti sumber bekalan dadah terbabit.

Dua kenderaan yang disewa suspek untuk tujuan pengedaran dadah telah dirampas, katanya, sambil menambah wang tunai RM850 dan matawang Singapura bernilai RM1,152 yang ditemui dalam kereta tersebut turut disita.

Siasatan lanjut mendapati seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan dua kes dadah mengikut Seksyen 15(1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata semua suspek itu direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Menurut beliau operasi berkenaan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang turut disertai Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sabah.

Mohmad berkata kejayaan itu adalah hasil siasatan dan risikan serta pemantauan berterusan yang dijalankan oleh JSJN.

Beliau turut berharap masyarakat akan terus berkerjasama menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka.

Dalam rampasan di Lahad Datu pada 3 Oktober lalu, polis berjaya merampas lebih 50 kilogram Syabu bernilai lebih kurang RM2.5 juta.

Rampasan di Lahad Datu juga melibatkan barang terlarang tersebut disimpan dalam bungkusan plastik teh Cina untuk mengelirukan pihak berkuasa.-SabahNewsToday