Pilih Bahasa

Polis rampas dadah bernilai lebih RM16 ribu, dua lelaki ditahan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Dadah yang dirampas dalam dua serbuan berasingan dianggarkan bernilai RM16, 060. – Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

LAHAD DATU: Polis berjaya merampas 107.07 gram (g) syabu yang dianggarkan bernilai RM16,060 dalam dua serbuan berasingan di Ladang Seri Balung Jalan Tungku-Lahad Datu, dekat sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata dalam operasi Ice Breaker itu, dua lelaki termasuk seorang warga Filipina ditahan dipercayai terbabit dalam kes memiliki syabu. 

Menurut beliau serbuan pertama dijalankan pukul 2 petang di sebuah rumah tidak bernombor dan mendapati seorang suspek berusia 34 tahun sedang berada di dalam tandas rumah berkenaan. 

“Lelaki warga Filipina terbabit cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan namun suspek berjaya ditahan. 

“Pemeriksaan kemudian dijalankan di dalam bilik tidur dan menemukan empat peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 51.87 gram bernilai RM7,780 yang disembunyikan di dalam sebuah beg pinggang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kedua-dua suspek ditahan dipercayai memiliki dadah jenis syabu. – Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

Nasri berkata seorang lagi suspek tempatan berusia 34 tahun turut ditahan dalam serbuan kedua yang dijalankan pada pukul 3.30 petang. 

Katanya suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC itu diperiksa dan menemukan empat peket berisi syabu di dalam poket seluar suspek. 

“Anggaran syabu yang dimiliki suspek 55.20 gram dianggarkan bernilai RM8,280. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphentamine,” katanya. 

Jelas beliau lagi kedua-dua suspek yang ditahan dalam serbuan berkenaan memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah. 

Katanya semua suspek ditahan manakala dadah dirampas dan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – SabahNewsToday