Pilih Bahasa

Polis rampas ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM15.6 juta

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis Sabah menahan seramai 12 individu termasuk seorang wanita warga tempatan dan merampas ratusan kotak berisi ubat-ubatan dengan nilai mencecah RM15.6 Juta yang dipercayai diseludup masuk dari China secara tidak sah.

Tangkapan dan rampasan dijalankan sepasukan polis dari Cawangan Anti Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sebuah gudang tanpa nama di Sri Kemajuan, Inanam, di sini Ahad lalu.

Omar (tiga dari kanan) memeriksa ubat-ubatan yang tidak berdaftar di Stor Barang Kes Berpusat IPK Sabah, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, tangkapan dan rampasan barangan berkenaan berdasarkan maklumat awam dan hasil risikan pihak polis.

“Serbuan kira-kira jam 11 pagi itu, pemilik premis gagal mengemukakan lesen dan dokumen berkaitan termasuk borang pengisytiharan cukai dan surat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

“Berikutan itu, seramai 12 individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 21 hingga 65 tahun ditahan dan merampas sebanyak 398 kotak berisi 240,000 botol ubat-ubatan pelbagai jenis dan jenama yang diseludup masuk tanpa kebenaran KKM,” katanya dalam sidang media di Stor Barang Kes Berpusat IPK Sabah di Kepayan, hari ini.

Omar dalam sidang media mengenai kejayaan rampasan ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM15.6 juta. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Omar berkata, siasatan mendapati semua barangan berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui Sarawak sebelum dihantar ke daerah ini, Tuaran dan daerah-daerah berhampiran untuk dijual.

Omar (kiri) memeriksa kenderaan yang digunakan untuk mengangkut ubat-ubatan tidak berdaftar. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Setiap botol dijual pada harga minimum RM10 dan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM15.6 juta. Polis turut merampas dua lori dan sebuah van yang disyaki digunakan untuk mengangkut ubat-ubatan berkenaan bersama wang tunai berjumlah RM9,205.

“Siasatan masih dijalankan oleh JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan semua suspek kini direman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 7 (1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. -SabahNewsToday