Pilih Bahasa

Polis Sabah agresif banteras isu perjudian

Oleh Nasrawati Syarifuddin


TAWAU: Polis Sabah tidak pernah berkompromi dengan isu perjudian haram yang kini dikesan mengubah taktik dan modus operandi dengan menyasarkan kawasan luar bandar termasuk kampung bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata semua Ketua Polis Daerah diarah untuk melakukan operasi di kawasan masing-masing bagi membanteras kegiatan perjudian haram ini.

Omar (tengah) menyaksikan majlis menandatangani serah terima tugas antara Pemangku Asisten Komisioner Peter Anak Umbuas dan pemangku Ketua Polis Daerah Tawau (Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau) Superintendan Nor Azizulkifli Mansor. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Katanya, di Sabah setakat ini hanya terdapat 43 premis perjudian berlesen yang tertakhluk kepada peraturan dan syarat yang ditetapkan kerajaan.

“Berdasarkan maklumat dan risikan yang diperoleh, ahli sindiket perjudian haram menggunakan motosikal selain sanggup berjalan kaki masuk ke kawasan kampung bagi mempromosi kegiatan perjudian mereka.

“Saya tidak nafikan wujudnya sindiket perjudian tidak berlesen namun kita lakukan operasi setiap hari dan arahkan Ketua Polis Daerah untuk membasmi dan melakukan pemantauan perjudian haram termasuk di pusat hiburan dan kafe siber,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Tawau dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Tawau, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memberi peringatan tegas kepada semua pegawai dan anggota polis supaya tidak terbabit atau melindungi mana-mana individu dan sindiket berkaitan penyalahgunaan serta pengedaran dadah di negeri ini.

“Berdasarkan maklumat yang kita terima, ada operasi yang kita jalankan tidak berjaya kerana ada segelintir pegawai dan anggota yang tidak memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Dalam hal ini saya tidak akan bertolak ansur dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang terbabit kerana ia menjejaskan imej polis,” katanya.-SabahNewsToday