Pilih Bahasa

Polis Sabah bersedia untuk PRN

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis Sabah sedia melaksanakan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan diadakan dalam tempoh kurang daripada 60 hari.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata persiapan dari segi kekuatan keanggotaan penting berikutan ada pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Katanya, sebelum ini, Dun Sabah hanya membabitkam 60 kerusi namun kali ini akan bertambah kepada 73 kerusi.

“Ekoran daripada pertambahan kerusi, kita yakin jumlah pengundi juga turut bertambah dan seterusnya mungkin akan wujud Pusat Pembuangan Undi baharu atau pertambahan saluran mengundi.

“Apapun, polis masih menunggi keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kita akan laksanakan tugasan mengikut keputusan SPR,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, semalam.

Zaini berkata jumlah saluran mengundi untuk setiap pusat mengundi itu akan menentukan bilangan pegawai yang bertugas pada hari  pembuangan undi nanti.

Katanya persiapan yang perlu disusun atur adalah membabitkan keperluan logistik dan sebagainya.

“Cabaran lain adalah ketika era Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, polis difahamkan akan ada perubahan terhadap bilangan pengundi di saluran mengundi iaitu jika pusat mengundi kecil maka bilangan pengundi juga akan dikurangkan.

“Polis akan menggerakkan semua elemen kepolisan yang ada termasuklah Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta PULAPOL,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung keadaan politik semasa negeri Sabah ketika ini, Zaini berkata polis belum menerima sebarang laporan dan keadaan masih aman serta terkawal.

“Polis akan terus memantau dan memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya sebelum dan semasa PRN,” katanya. – SabahNewsToday