Pilih Bahasa

Polis Sabah kekal kecemerlangan banteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis Sabah perlu mengekalkan kecemerlangan dalam usaha membanteras jenayah khususnya kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata awal bulan lalu, Polis Sabah menerima anugerah Bunga Emas oleh pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menjadi kontinjen terbaik dan cemerlang dalam usaha memerangi dan membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah sepanjang 2019.

Omar memeriksa barisan Kawalan Kehormatan pada Majlis Perhimpunan Khas di IPK Sabah, Kota Kinabalu.-Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua Ketua Polis Daerah (KPD) di Sabah kerana begitu komited dalam menjalankan tugas memerangi jenayah khususnya aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

“Saya berharap usaha ini dapat terus dipertingkatkan lagi supaya Polis Sabah dapat mengekalkan kecemerlangan di masa-masa akan datang,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Khas Pesuruhjaya Polis Sabah dan Penyampaian Sijil Penghargaan, di sini hari ini.

Omar berkata kejayaan Polis Sabah dalam memerangi dan membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah sepanjang tahun lalu dapat direalisasikan dengan adanya kerjasama semua pihak termasuk agensi penguatkusaan yang lain.

“Pada awal tahun lalu, saya juga mengarahkan semua Ketua Polis Daerah supaya memilih lima kawasan panas di kawasan masing-masing yang dirasakan mempunyai aktiviti dadah yang membimbangkan.

Omar menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun (kiri) pada majlis berkenaan.-Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Lima kawasan panas itu perlu dibersihkan melalui tindakan operasi berterusan secara agerasif, selain melaksanakan operasi Payung iaitu meletakkan anggota di kawasan panas berkenaan sepanjang masa,” katanya.

Bunga Emas dianugerahkan kepada Polis Kontinjen Sabah selepas mengatasi 13 Kontinjen yang lain dengan rekod pencapaian 83.3 peratus daripada 6 KPI yang ditetapkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman. SabahNewsToday