Pilih Bahasa

Polis Sabah kerah 793 anggota pastikan kelancaran PRK Parlimen Kimanis

Oleh Mohd Adam Arinin

Omar Mammah pada sidang media selepas proses penamaan calon bagi PRK Parlimen Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

BEAUFORT: Polis Kontinjen Sabah menempatkan seramai 793 pegawai dan anggota bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis bermula hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata proses penamaan calon pada pagi ini berjalan lancar dan tiada sebarang insiden berlaku malah tiada laporan polis diterima daripada mana-mana pihak berhubung perjalanan proses itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, Datuk Jauteh Dikun (kanan) menasihati penyokong dari parti yang hadir agar bertenang semasa proses penamaan calon di perkarangan Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir di Beaufort. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pada proses penamaan calon pagi ini sahaja, seramai 375 pegawai dan anggota polis dikerah untuk menjalankan tugasan utama iaitu mengawal lalulintas bagi memastikan aliran trafik di kawasan sekitar pusat penamaan calon dan pekan Beaufort berjalan lancar.

“Penugasan kedua yang kita aturkan iaitu menjaga keselamatan bagi mengelakkan kejadian jenayah berlaku selain memastikan kawalan di blok penyokong kedua-dua calon yang bertanding,” katanya pada sidang media di pusat penamaan calon PRK Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di sini, hari ini.

Anggota polis mengawal keadaan penyokong parti yang hadir semasa proses penamaan calon didi Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan calon bertanding, ejen calon atau penyokong ini agar mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang tempoh berkempen dan tidak membuat sebarang provokasi.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini dengan hari pengundian awal pada 14 Januari. – SabahNewsToday