Pilih Bahasa

Polis Sabah mempercepatkan siasatan dakwaan kesalahan pilihan raya

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis Sabah akan mempercepatkan proses siasatan berhubung laporan polis mengenai sambutan Krismas dan Tahun Baharu di Membakut yang menawarkan hadiah kepada pengunjung bertuah selepas proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis selesai, Sabtu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata sehingga kini terdapat dua laporan polis diterima dan salah satu laporan akan disiasat oleh polis.

Omar (dua dari kiri) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu. Gambar SNT / Junaidi Ladjana

“Laporan polis kita terima berkaitan dengan satu sambutan Krismas yang diadakan di Membakut dan dalam sambutan itu ada cabutan bertuah diadakan.

“Pihak yang membuat laporan menganggap cabutan bertuah itu adalah sogokan kepada pengundi di kawasan berkenaan.

“Cabutan bertuah ketika perayaan Krismas adalah perkara biasa di Sabah namun kita akan mempercepatkan siasatan berhubung perkara berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Jauteh Dikun.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Satu lagi laporan polis akan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Semalam, Pemuda Umno membuat laporan polis berkenaan sambutan Krismas dan Tahun Baharu di Membakut yang menawarkan hadiah bertuah kepada pengunjung selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Kimanis selesai.

Laporan dibuat oleh Ketua Pemuda Umno Beaufort, Mohd Fadzil Misdeh yang mendakwa tindakan Parti Warisan Sabah (Warisan) itu menyalahi Seksyen 8 dan 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sementara itu mengenai dakwaan telefon bimbit Pemuda Umno itu mahu dirampas, Omar berkata pihaknya tidak menerima apa-apa laporan mengenai kejadian itu.

“Normal, apabila polis menjalankan siasatan dan pengadu itu memberi bukti qgambar melalui telefon bimbit, maka telefon itu diambil oleh polis sebagai exhibit, bukan merampas… jika betul dakwaan itu,” jelasnya. – SabahNewsToday