Pilih Bahasa

Polis Sabah tingkatkan operasi kepolisan, kekang ancaman luar

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis Sabah akan memberi penekanan kepada usaha menjaga keselamatan negeri ini daripada ancaman luar dengan meningkatkan operasi kepolisan bersama agensi keselamatan yang lain.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, operasi bersama membabitkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA), dan Pasukan Gerakan Udara menerusi operasi-operasi sedia ada selama ini.

Omar bersama timbalannya Datuk Zaini Jass bergambar ketika Majlis Flag Off Konvoi Bermotosikal sempena Kempen Memerangi Dadah dan Pencegahan Jenayah di IPK Sabah, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Begitu juga koloborasi dengan dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain seperti Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memastikan negeri ini bebas daripada pencerobohan dan penculikan.

“Rondaan-rondaan di perairan Sabah khsusnya di sasaran yang dikenalpasti sering berlaku kes penculikan juga akan ditingkatkan,” katanya dalam sidang media dan Majlis Flag Off konvoi bermotosikal sempena Kempen Memerangi Dadah dan Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Omar berkata dalam masa yang sama, pihaknya akan melipatgandakan usaha untuk mengesan kumpulan militan seperti kumpulan culik untuk mendapatkan wang tebusan (KFR), Abu Sayyaf Group (ASG) dan Daesh.

“Berdasarkan risikan kumpulan KFR dan ASG adalah kumpulan yang paling aktif melakukan pergerakan atau rancangan penculikan di sekitar pulau Andulingan dan pulau Sitangkai iaitu dua lokasi yang hampir dengan Lahad Datu.

“Oleh itu, pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi menangani ancaman militan di Sabah.

“Begitu juga dengan militan Daesh dan untuk statistik tangkapan Daesh di Sabah bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu iaitu seramai 18 termasuk dua wanita,” katanya.

Sementara itu juga, beliau berkata pihaknya juga akan terus fokus kepada memerangi dadah dengan dua cara iaitu membanteras kegiatan pembekalan dan perdagangan dadah serta membanteras permintaan dengan cara meningkatkan operasi serta mengesan penagih dadah.

“Pada 25 Febuari 2019, polis Sabah melancarkan program ‘Kampung Angkat’ yang merupakan ‘hot spot’ bagi kegiatan pengedaran dan penagihan dadah dan tahun tahun ini program berkenaan akan diteruskan,” katanya. – SabahNewsToday