Pilih Bahasa

Polis Sabah tingkatkan usaha banteras kegiatan pengeboman ikan

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis Sabah akan mempertingkatkan kawalan dan pemantauan bagi menangani kegiatan pengeboman ikan di perairan daerah ini khususnya di kawasan pelantar minyak.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata pihaknya menerima banyak laporan daripada Petronas dan syarikat Hibiscus Petroleum yang mendakwa kawasan pelantar minyak mereka diceroboh oleh nelayan kecil disyaki melakukan pengeboman ikan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji pada sidang media selepas menghadiri Program Kepolisan Komuniti bersama Pesuruhjaya Polis Sabah di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Bagaimanapun kebanyakkan kes ini ditangani oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Oleh itu, polis dan Petronas sedang memantau dan berusaha mengekang aktiviti ini terutama berhampiran pelantar minyak di perairan daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program komuniti kepolisan di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya, di sini hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah menerima cenderahati daripada Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji pada selepas menghadiri Program Kepolisan Komuniti bersama Pesuruhjaya Polis Sabah di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Omar berkata, aktiviti pengeboman ikan ini amat bahaya dan pemantauan sedang dilakukan bagi mengekang kegiatan berkenaan.

“Perbuatan ini amat bahaya jika ledakan bom itu terkena pada saluran paip gas di pelantar minyak sekaligus menyebabkan bencana termasuk kerosakan terumbu karang dan nyawa petugas pelantar minyak.

Sebahagian penduduk yang hadir pada Program Kepolisan Komuniti bersama Pesuruhjaya Polis Sabah di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Justeru, hari ini kita mengadakan ‘Community Policing’ bersama penduduk dan nelayan di Pulau Gaya untuk menyalurkan maklumat perlakuan jenayah termasuklah aktiviti pengeboman ikan,” katanya.-SabahNewsToday