Pilih Bahasa

POLIS SAHKAN VIDEO MANGSA CULIK DIHANTAR DARI FILIPINA

Oleh Mohd Adam Arinin

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah memeriksa barisan Kawalan Kehormatan Utama pada Majlis Perhimpunan Bulanan IPK Sabah di Dataran Pahlawan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis Sabah mengesahkan video yang menunjukkan seorang mangsa yang dipercayai diculik sambil merayu untuk diselamatkan itu dihantar dari Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata pihaknya sudah berhubung dengan rakan sejawat di negara jiran bagi mengenalpasti sama ada video berdurasi 10 saat terbabit adalah benar atau sebaliknya.

“Kita sudah mendapatkan kesahihan mengenai video terbabit dari pihak berkuasa di Filipina dan video itu dihantar dari pihak penculik kepada majikan mangsa culik insiden pertama tahun lalu pada September iaitu Samsul Sagunin.

“Video terbabit turut dipercayai dijadikan sebagai strategi kumpulan penculik untuk mendesak majikan mangsa membuat pembayaran wang tebusan sebanyak 4 Juta Peso (RM400,000).,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan IPK Sabah.

Menurut Omar, pihaknya kini giat menjalankan pemantauan dan siasatan terperinci terhadap pergerakan kumpulan penculik ini dan turut mendapatkan kerjasama dari rakan sejawat di Filipina.

Pihak polis juga tidak menolak kemungkinan terdapat dalang penculikan di antara 18 individu yang dikehendaki oleh ESSCOM bagi membantu siasatan kes jenayah di sekitar kawasan ESSZONE.

“Kemungkinan besar dalang utama penculikan ini dilakukan salah seorang antara individu yang dikehendaki dan siasatan terperinci terhadap kesemua suspek ini akan terus dijalankan bagi mendapatkan hasil siasatan sepenuhnya. Dan setakat ini, kesemua diantara mereka masih belum dapat dikesan sekiranya berada di negeri ini dan pihak polis dari bahagian Cawangan Khas akan terus memantau.” katanya.

Video berdurasi 10 saat yang menunjukkan mangsa culik yang dipercayai identitinya sebagai Samsul Saguin dilihat merayu dalam keadaan bercangkung tanpa memakai baju dan hanya berseluar serta dikelilingi oleh individu berpakaian celoreng lengkap bersenjata.

Samsul antara empat lagi mangsa culik yang masih berada dalam tahanan kumpulan terbabit sejak dilarikan kumpulan culik selepas insiden tembakan di Pegasus Reef Kinabatangan 5 Disember dan 11 September tahun lalu.

Tiga lagi yang hilang termasuklah Heri Ardiansyah, 19; Jari Abdullah dan Hariadin, 45. –SabahNewsToday