Pilih Bahasa

Polis Sandakan kesan pemilik akaun Facebook hina Ketua Menteri, Warisan

SANDAKAN, 5 April (Bernama) — Polis Sandakan mengesan pemilik akaun laman media sosial Facebook yang dikatakan menghina Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah (Warisan) menerusi laman media itu.

Ketua Polis Daerah ACP Mohd Azhar Hamin berkata pihaknya menerima laporan polis daripada seorang lelaki yang mengadu pemilik akaun ‘Som bin Poton’ telah memuat naik gambar dengan ayat berbaur penghinaan.

Katanya, gambar itu, yang dimuat naik pada 26 Mac lepas, tertulis perkataan mendesak orang ramai supaya tidak menyokong Warisan dan mengibaratkan golongan yang menyokong parti itu dan Mohd Shafie sebagai bodoh.

“Hasil semakan dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendedahkan pemilik akaun terbabit dipercayai dikendalikan oleh penama Tumik Aik, 53, yang beralamat di Rancangan Sungai Manila, Batu 12, Sandakan dan juga Kampung Penangah, Kinabatangan.

“Kita minta penama terbabit tampil dengan segera ke bahagian Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan membantu siasatan polis,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu di sini hari ini.

Mohd Azhar berkata kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

— BERNAMA