Pilih Bahasa

Polis Sandakan selesaikan 31 kes jenayah sepanjang Januari

SANDAKAN, 4 Feb (Bernama) — Polis Sandakan berjaya menyelesaikan 31 kes jenayah di sekitar daerah sepanjang bulan lepas dengan jumlah nilai rampasan dianggar RM213,500.

Ketua Polis Daerah ACP Mohd Azhar Hamin berkata kes jenayah itu berjaya diselesaikan menerusi operasi polis yang dijalankan antaranya Op Cantas, Op Pintu, Op Lejang dan operasi pencegahan jenayah.

“Hasil operasi yang dijalankan telah berjaya menumpaskan individu dan kumpulan yang terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah iaitu curi harta benda, pecah rumah, curi motosikal dan samun.

“Kejayaan ini hasil kerjasama pihak masyarakat dalam menyalurkan maklumat kepada polis sehingga tertangkapnya suspek yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu di sini hari ini.

Menurut Mohd Azhar, suspek yang ditangkap seramai 25 orang terdiri daripada 20 tempatan dan lima warga asing berumur antara 17-53 tahun, yang mana 12 didapati positif dadah jenis syabu.

Mohd Azhar berkata kes terbesar yang berjaya diselesaikan adalah kes curi kabel elektrik di Pencawang Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Sibuga, Jalan Datuk Tay, Batu 8 di sini dengan nilai kerugian dianggarkan RM80,000.

Katanya, seramai enam lelaki berumur 18-53 tahun, yang mana tiga daripadanya warga asing, ditangkap pada 16 dan 17 Jan lepas di kawasan setinggan di Jalan Datuk Tay, Batu 8 dan polis merampas sejumlah barang bernilai RM20,000 termasuk dua kenderaan jenama Proton Wira.

Beliau menjelaskan suspek dipercayai bergerak secara berkumpulan dan menyasarkan kabel elektrik milik SESB yang tidak lagi aktif digunakan.

Menurutnya, seorang daripada suspek adalah pengawal keselamatan SESB dan seorang lagi bekas pengawal keselamatan SESB .

Mohd Azhar turut memberitahu satu kes yang menarik perhatian ialah kes pecah rumah dan curi harta benda, termasuk tong gas memasak, dengan nilai kerugian dianggarkan RM9,900.

Katanya, dua lelaki tempatan masing-masing berumur 29 dan 30 tahun ditangkap di Taman Emas, Jalan Army Camp, Batu 7 dekat sini pada 25 Jan lepas bagi membantu siasatan ke atas kejadian pecah masuk di 12 tempat termasuk dua restoran di Batu 4, Batu 7, Batu 8 dan Batu 9 di sini.

Menurutnya, polis merampas sejumlah barang dengan anggaran nilai RM25,000 termasuk 12 tong gas memasak pelbagai jenama.

Mohd Azhar berkata suspek dipercayai menyasarkan rumah dan premis restoran untuk memecah masuk dan mencuri harta benda, terutamanya tong gas memasak untuk dijual menerusi laman sosial Facebook pada harga rendah daripada harga pasaran.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu polis masih mengesan seorang tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran yang melarikan diri ketika hendak dibawa dari Mahkamah Sandakan ke Penjara Sibuga Sandakan di sini pada 10 Jan lepas.

Beliau memohon orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai kedudukan suspek Jusman Amir, 29, warga Indonesia, yang dituduh di Mahkamah Majistret di sini kerana mengambil dadah.

Ketika kejadian, suspek berjaya membuka gari berantai yang dipasang di tangannya semasa proses memuatkan tahanan ke dalam trak polis untuk ke penjara berkenaan dan dipercayai melarikan diri ke arah kawasan semak di Taman Khong Lok, Batu 7, di sini.

— BERNAMA