Pilih Bahasa

Polis serbu ‘port’ dadah, 34 individu ditahan

Oleh Sabah News Today

Antara penagih yang ditahan dalam Ops Ice Breaker di sekitar Kota Kinabalu bermula 28 Julai dan berakhir semalam. – Gambar SNT/Ihsan PDRM

Kota Kinabalu: Seramai 34 individu termasuk dua pengedar ditahan di beberapa lokasi panas dikenal pasti sebagai ‘port’ dadah di sekitar bandar raya ini menerusi Operasi Ice Breaker sepanjang minggu lalu dan berakhir semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata sepanjang operasi itu juga, polis turut merampas sebanyak 11.50 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM1,800 mengikut harga dadah semasa.

Katanya daripada jumlah tangkapan itu, dua adalah pengedar dadah yang dikehendaki kerana aktif dalam pengedaran dadah di sekitar bandar raya ini.

Beberapa individu ditahan kerana disyaki penagih dalam Ops Ice Breaker di sekitar Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan PDRM

“Sepanjang tempoh operasi dijalankan sehingga Jumaat lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, serta dibantu lain-lain cawangan dan balai telah mensasarkan beberapa lokasi yang menjadi tumpuhan penagihan dadah terutama di Kampung Sembulan, Labou, sekitar Likas dan bandar raya ini.

“Akhirnya, operasi yang dilakukan ini, menahan seramai 34 individu termasuk dua pengedar dadah yang dikehendaki kerana aktif mengedar dadah. Daripada jumlah itu juga, 23 adalah warga tempatan manakala selebihnya warga asing.

Beberapa individu ditahan kerana disyaki penagih dalam Ops Ice Breaker di sekitar Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan PDRM

“Semua yang ditahan berusia lingkungan 17 hingya 52 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) akta sama, Seksyen 15(1)(a) juga akta sama,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Difahamkan, operasi Ice Breaker ini dilaksanakan secara serentak di seluruh negara bermula 28 Julai yang bertujuan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Beberapa individu ditahan kerana disyaki penagih dalam Ops Ice Breaker di sekitar Kota Kinabalu dan kawasan lain. – Gambar SNT/Ihsan PDRM

Sehubungan itu, Habibi berkata, usaha pembenterasaan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di bandar raya ini akan sentiasa diperhebatkan dari semasa ke semasa.

“Oleh itu, usaha sama daripada orang awam juga diperlukan dengan menyalurkan maklumat ke hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220 atau ke akaun Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu,” katanya. – SabahNewsToday