Pilih Bahasa

Polis serbu rumah dan stor membuat senjata api buatan sendiri

Oleh Sabah News Today

RANAU: Serbuan sepasukan pegawai dan anggota polis di sebuah rumah dan stor di Kampung Kinaratuan, dekat sini, Selasa lalu, membawa kepada penemuan lebih 20 senjata api buatan sendiri.

Turut ditemui dalam serbuan itu, peluru tabur dan kelongsong peluru.

Selain itu, pelbagai jenis peralatan dipercayai digunakan untuk membuat senjata api buatan sendiri dirampas.

Serbuan kira-kira jam 230 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menahan tujuh individu termasuk pembuat dan pembeli.

Difahamkan, rumah dan stor itu dijadikan tempat membuat senjata api buatan sendiri.

Rampasan ini adalah yang terbesar di Sabah membabitkan senjata api buatan sendiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan mengenai kes berkenaan namun memaklumkan maklumat lanjut dan sidang media berhubung rampasan itu akan dibuat minggu depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.-SabahNewsToday