Pilih Bahasa

Polis siasat individu gari dan sebar gambar kanak-kanak Palauh pegang pistol mainan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Polis sedang menyiasat individu yang menggari kanak-kanak lelaki Palauh yang ditahan ekoran kejadian gambarnya memegang pistol mainan sambil meminta sedekah di lampu isyarat Taman Aman Jaya dan Bandar Sri Perdana di sini, tular di media sosial sejak pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata media yang memuat naik gambar berkenaan di portal, akhbar dan televisyen juga akan diambil tindakan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor. Gambar SNT

“Adalah menjadi satu kesalahan untuk disiarkan gambar kanak-kanak bawah umur dan dalam keadaan digari.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dalam menggari kanak-kanak itu dan tularkan gambar itu di media sosial.

“Kita bukan sahaja siasat siapa yang tularkan tetapi kita akan siasat siapa yang menggari kanak-kanak itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu seorang kanak-kanak lelaki Palauh memegang pistol sambil meminta sedekah di lampu isyarat Taman Aman Jaya dan Bandar Sri Perdana di sini, menggemparkan orang ramai termasuk pengguna jalan raya.

Gambar kanak-kanak dalam lingkungan enam tahun yang sedang memegang pistol terbabit tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak pagi tadi.

Susulan tangkapan itu, 10 kanak-kanak dan lima wanita Palauh berusia 24 hingga 31 tahun turut ditahan. – SabahNewsToday