Pilih Bahasa

Polis tahan 10 lelaki terlibat 18 kes curi dan pecah rumah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Polis berjaya menyelesaikan 18 kes pecah rumah dan curi dengan tertangkapnya 10 lelaki dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan sekitar daerah ini, Khamis lalu.

Superintendan Sabarudin Rahmat berkata suspek berusia 23 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi berkenaan diantara pukul 10 malam hingga 5 pagi.

Antara barangan yang dirampas dalam kes pecah rumah dan curi sekitar daerah Semporna. Gambar SNT / Ihsan IPD Semporna

“Hasil pemeriksaan mendapati, dua suspek adalah warganegara tempatan manakala lapan lagi warganegara asing.

“Sepanjang operasi berkenaan, kita berjaya merampas pelbagai barangan pecah rumah dan curi antaranya 10 unit televisyen, tiga komputer riba, 10 telefon bimbit dan satu kamera digital.

Superintendan Sabarudin Rahmat (empat dari kiri) bersama-sama dengan anggota dalam sidang media tangkapan kes pecah rumah dan curi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, pagi tadi. Gambar SNT / Ihsan IPD Semporna

“Kita turut merampas beg tangan wanita, jam tangan, tong gas, pembesar suara, dan motosikal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, semua barangan berkenaan dianggarkan bernilai RM56,000.

“Hasil siasatan juga mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan kes pecah rumah dan curi,” katanya. – SabahNewsToday