Pilih Bahasa

Polis tahan 19 individu termasuk pengedar dadah di Tuaran

Oleh Junaidi Ladjana

Polis menahan beberapa individu disyaki terbabit penyalahgunaan dadah di sekitar Tuaran. – Gambar SNT/Ihsan polis

TUARAN: Seramai 19 individu termasuk seorang pengedar dadah ditahan menerusi 14 serbuan dalam tempoh dua minggu yang berakhir kelmarin.

Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran dengan menyasarkan beberapa lokasi di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata antara lokasi yang menjadi tumpuan iaitu Taman Perumahan Telipok Ria, Taman Sri Rugading, Kampung Mengkabong dan pekan di daerah ini.

“Hasil operasi itu menahan seramai 19 individu terbabit penyalahgunaan dadah iaitu seorang disyaki pengedar, empat lagi bagi kesalahan memiliki dadah diikuti 14 individu positif dadah.

Antara individu yang ditahan kerana disyaki terbabit penyalahgunaan dadah di sekitar Tuaran. – Gambar SNT/Ihsan polis

“18 individu yang ditahan adalah warga tempatan manakala seorang warga asing yang berusia 17 hingga 40 tahun,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohd Hamizi berkata jumlah keseluruhan rampasan dadah pada tempoh itu sebanyak 10.72 gram syabu dianggarkan bernilai RM1,608 mengikut harga pasaran semasa.

“Semua individu itu ditahan mengikut kesalahan masing-masing iaitu Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat kegiatan berkaitan dadah atau jenayah lain khususnya di daerah ini,” katanya. – SabahNewsToday