Pilih Bahasa

Polis tahan dua lelaki terbabit kes samun bersenjata

Oleh Mohd Nazllie Zainul

George (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas daripada suspek dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Dua lelaki dipercayai terbabit kes samun bersenjata di Sadong Jaya berjaya diberkas polis pada Rabu lalu dalam serbuan selama sejam bermula kira-kira pukul 6.50 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata hasil serbuan itu seorang suspek warga tempatan berusia 25 tahun dan berasal dari Kampung Sembulan ditahan oleh pihak berkuasa.

“Siasatan awal mendapati suspek memiliki beberapa rekod kesalahan lampau membabitkan Akta Dadah Berbahaya dan suspek dipercayai berperanan menyamun mangsa dan mengugut menggunakan senjata tajam.

“Pemeriksaan saringan ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Polis merampas beberapa barangan milik suspek dipercayai digunakan bagi tujuan samun selain hasil kegiatan jenayah sama di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan IPD Kota Kinabalu

George berkata dalam serbuan di lokasi sama polis turut menahan seorang lagi suspek iaitu lelaki warga Filipina berumur 24 tahun.

Bagaimanapun katanya suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan saringan ujian air kencing turuf menunjukkan lelaki terbabit negatif dadah.

Katanya siasatan mendapati suspek hanya bertindak selaku pembeli barangan hasil samun.

Dalam dua serbuan itu, George berkata pihaknya turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil samun selain peralatan bagi menjalankan kegiatan jenayah berkenaan.

Beliau berkata antara barang dirampas termasuk sebilah parang berukuran kira-kira 44 sentimeter, sebuah tab dan telefon bimbit pelbagai jenama, kasut dan seluar jeans dianggarkan bernilai RM2,500.

Terdahulu, sepasang suami isteri membuat laporan polis berikutan disamun dua lelaki bersenjatakan parang dihadapan sebuah premis perniagaan terletak di Sadong Jaya pada 11 Mei lalu sekitar pukul 10.24 malam.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi mengalami kerugian dua buah telefon bimbit.

Dalam pada itu, George berkata semua suspek direman selama tujuh hari bermula 16 sehingga 22 Mei bagi siasatan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya masih memburu seorang lagi suspek terbabit dalam kes samun berkenaan iaitu lelaki warga Filipina bernama Rafi [email protected] berusia 30 tahun.

Beliau meminta orang awam agar tampil menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai infomasi berkaitan suspek.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kes sama turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mengenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun sekiranya sabit kesalahan. – SabahNews Today