Pilih Bahasa

Polis tahan dua wanita dalang edar syabu di Inanam

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis menahan dua wanita disyaki dalang sindiket pengedaran syabu dalam serbuan di pekan Inanam di sini, semalam.

Kedua-dua wanita berusia 20 dan 29 tahun itu ditahan hasil risikan dan maklumat awam berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Sebanyak 24 keratan straw berisi dadah jenis syabu dirampas daripada kedua-dua suspek yang menjalankan kegiatan pengedaran dadah di pekan Inanam, Kota Kinabalu. – Gmbar SNT/Ihsan IPD KK

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner, Habibi Majinji berkata ketika ditahan, kedua-dua suspek dikesan memiliki 24 keratan straw berisi dadah jenis syabu.

Katanya semua dadah berkenaan dikesan seberat 6.21 gram yang dianggarkan bernilai RM621 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kedua-dua suspek disyaki menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah di sekitar kawasan pekan Inanam.

“Modus operandi yang digunakan adalah kedua-dua suspek menjadi perantara sindiket untuk mendapat pelanggan atau pembeli,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Habibi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Alta Dadah Berbahaya yang memperuntukkam hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun.

Katanya suspek turut berdepan hukuman sebat tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Habibi berkata kejayaan tangkapan kali ini adalah berdasarkan maklumat risikan dan awam terhadap sarang-sarang penagihan bagi memastikan kegiatan dadah dapat dibendung sepenuhnya.

Katanya tangkapan ini juga akan membantu polis mengenalpasti dan mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud.

“Usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan kesejahteraan dan ketenteramam di kawasan daerah Kota Kinalu sentiasa terjaga.

“Orang ramai dialu-alukan untuk membantu pihak PDRM dalam menyalurkan maklumat berkaitan untuk tindakan segera,” katanya. – SabahNewsToday