Pilih Bahasa

Polis tahan lelaki mengamuk sambil membawa pisau

Oleh Junaidi Ladjana

LABUAN: Seorang lelaki ditahan polis selepas mengamuk dan cuba menyerang adik beradiknya menggunakan sebilah pisau pemotong sayur di dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata ketika kejadian sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan sedang menjalankan rondaan.

Pisau yang digunakan suspek. Gambar SNT/Ihsan IPD Labuan

“Ketika berada di hadapan restoran, anggota polis yang sedang menjalankan rondaan ternampak seorang lelaki dalam keadaan berlari sambil membawa sebilah pisau pemotong sayur mengamuk.

“Pasukan polis kemudian menahan lelaki terbabit dan turut merampas sebilah pisau yang dibawanya.

“Ketika proses tangkapan berlaku sedikit pergelutan ke atas suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad berkata hasil siasatan mendapati suspek berusia 28 tahun itu dipercayai mengamuk disebabkan berkaitan adik beradik.

“Suspek yang tidak puas hati dengan adik beradiknya, kebetulan melihat sebilah pemotong sayur yang diletakkan di bahagian belakang dapur premis makanan mengambil pisau itu lalu berlari dalam keadaan mengamuk.

“Suspek ketika itu terserempak dengan polis sebelum dia ditahan dan pisau turut dirampas,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan dadah mendapati suspek positif dadah.

“Suspek kini direman selama empat hari bermula semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – SabahNewsToday