Pilih Bahasa

Polis Tawau kerjasama dengan JHLS kesan suspek tembak gajah pygmy

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Bangkai gajah pygmy yang ditemukan dengan kesan tembakan di tepi Sungai Udin Dumpas, Kalabakan. – Gambar SNT / Ihsan Media Sosial

TAWAU: Polis daerah ini akan bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) bagi mengesan suspek yang menembak mati gajah pygmy di Sungai Udin Dumpas Kalabakan, Khamis lalu. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata pihaknya akan melancarkan Operasi Khazanah dan tidak akan membiarkan pihak JHLS bersendirian menyiasat kes terbabit. 

“Kita tidak akan membiarkan JHLS menyiasat kes ini tanpa kehadiran pihak polis memandangkan kita sudah mengetahui bahawa suspek memiliki senjata api. 

“Pihak polis juga akan mengadakan sesi perjumpaan dengan JHLS pada esok hari bagi membincangkan langkah-langkah untuk mengesan suspek,” katanya ketika ditemui dalan sidang media di Balai Polis Daerah Tawau di sini, hari ini.

Sebelum ini JHLS menyifatkan kematian gajah pygmy di Sungai Udin pada Khamis lalu sebagai satu pembunuhan kejam. 

Berdasarkan hasil bedah siasat dilakukan sepasukan doktor haiwan dan pegawai hidupan liar mendapati kira-kira 70 kesan tembakan ditemukan di badan gajah betina terbabit. 

Khamis lalu, sekumpulan pemancing menemukan bangkai gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas di Kalabakan dekat sini dan dipercayai mati antara tiga hingga empat hari.

Gajah betina itu ditemui dalam keadaan terduduk berhampiran tebing sungai dan pemeriksaan awal pasukan JHLS mengesan luka di bahagian pipi, kepala, badan dan punggung gajah berkenaan dipercayai akibat tembakan senjata api. – SabahNewsToday