Pilih Bahasa

Polis tembak mati tiga pengedar dadah, senjata api dan syabu dirampas

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis menembak mati tiga lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas 10 senjata api termasuk dua pistol dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di kawasan hutan dekat Ladang Kaswel, Kampung Sinar Jaya, Kinabatangan, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, ketiga-tiga suspek berusia 30 hingga 50 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri maut akibat terkena tembakan di beberapa bahagian badan suspek terbabit.

Zaini (tengah) menunjukkan laras senapang buatan sendiri yang dirampas selepas menembak mati tiga lelaki disyaki pengedar dadah dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan hutan dekat Ladang Kaswel, Kampung Sinar jaya, Kinabatangan. Gambar SNT/ Mohd Adam Arinin

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, bertindak atas maklumat dan risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah dan membuat senjata api, satu operasi bersepadu dikenali Op Laras Kinabatangan dijalankan di dua lokasi di kawasan berkenaan.

Katanya operasi yang disertai 80 anggota polis terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Khas dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran menumpuhkan dua lokasi di kawasan berkenaan secara serentak.

“Ketika serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah rumah, tiba-tiba sebuah motosikal datang menuju ke rumah berkenaan dan menyedari kehadiran pasukan polis, suspek bertindak melarikan diri menyebabkan pasukan keselamatan mengejarnya.

Pistol yang digunakan oleh suspek dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan hutan dekat Ladang Kaswel, Kampung Sinar Jaya, Kinabatangan. Gambar SNT/ Mohd Adam Arinin

“Suspek kemudian melepaskan tembakan ke arah polis dan polis terpaksa membalas tembakan sehingga suspek maut di lokasi kejadian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Zaini berkata hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui satu laras senapang buatan sendiri jenis bakakuk yang mengandungi satu kelongsong dan enam butir peluru hidup serta 13 peket plastik berisi dadah jenis syabu.

“Seterusnya pemeriksaan ke atas rumah itu turut menemui dua laras senapang jenis bakakuk, tiga laras senapang angin, parang, empat butir peluru, satu peket dadah seberat 1.35 gram, alat penimbang elektronik dan 13 telefon bimbit.

“Polis turut menahan tujuh individu termasuk kanak-kanak yang berada di rumah itu dan pemeriksaan mendapati semua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Senjata api dan barangan lain yang dirampas selepas menembak mati tiga lelaki disyaki pengedar dadah. Gambar SNT/ Mohd Adam Arinin

Menurut Zaini, pada masa sama juga, pasukan keselamatan melakukan serbuan di sebuah rumah yang terletak kira-kira empat kilometer daripada serbuan pertama.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek yang menyedari kehairan pasukan keselamatan terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan keselamatan. Bagi tujuan mempertahankan diri, pasukan keselamatan terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek.

“Dalam kejadian berbalas tembakan itu, dua suspek lelaki terbunuh dan pemeriksaan menemui dua jenis senjata api jenis Revolver Smith dan Wesson .38 dan satu pucuk pistol buatan sendiri menyerupai Revolver.

“Turut dirampas wang tunai RM2,376, beberapa mata wang asing serta sembilan peket plastik berisi dadah jenis syabu dianggarkan seberat 800 gram,” katanya.

Mengulas lanjut lagi, katanya pihaknya turut merampas dua laras senapang angin buatan sendiri, beberapa alat komponen senjata api, tujuh butir peluru senapang dan dua butir peluru pistol.

“Semua suspek dipercayai bukan sahaja melakukan aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan tetapi mereka ini juga membuat senjata api jenis bakakuk. Polis turut menahan dua buah keluarga terdiri daripada tujuh individu warga asing yang berusia 2 hingga 34 tahun untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya. -SabahNewsToday