Pilih Bahasa

Polis terima tujuh laporan kes borang palsu JPN

Oleh Mohd Adam Arinin

Omar Mammah (tengah0 menyerahkan bungkusan kuih raya kepada Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali pada majlis Penyampaian Sumbangan Kuih Raya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah menerima tujuh laporan berhubung dakwaan pengeluaran borang palsu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tertera lambang Parti Warisan Sabah (Warisan) yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata justeru orang ramai diminta menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut dan tidak membuat sebarang andaian berkaitannya.

“Setakat ini, sebanyak tujuh laporan polis diterima. Biar pihak kita menjalankan siasatan terperinci kerana bimbang nanti ada sindiket yang terbabit cuba merosakkan nama pihak tertentu.

“Oleh itu, saya menasihatkan supaya jangan membuat spekulasi atau andaian sebelum pihak polis menjalankan siasatan terperinci,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kuih Raya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Omar Mammah (tengah) menyerahkan bungkusan kuih raya kepada Ketua Jabatan Sumber dan Teknologi Kontinjen Sabah Asisten Komisioner M Chandra pada majlis Penyampaian Sumbangan Kuih Raya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Media sebelum ini melaporkan pengeluaran borang palsu JPN tertera lambang Warisan yang didakwa membolehkan pendatang asing tanpa izin (PTI) memohon dokumen pengenalan diri, disyaki didalangi sindiket untuk mengaut keuntungan setelah tular dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata PDRM bersiap sedia untuk memastikan jaminan keselamatan orang awam menjelang sambutan Pesta Kaamatan dan Aidilfitri yang bakal tiba.

Menurut beliau pihaknya telah menjalankan beberapa operasi lawatan dari rumah ke rumah untuk melihat kediaman yang ditinggalkan terdedah kepada kegiatan pecah rumah.

“Kes pecah rumah telah menurun nampun operasi akan diteruskan hingga musim perayaan selesai. Saya menyeru penghuni yang meninggalkan rumah supaya memaklumkan kepada balai polis berdekatan dan jiran untuk meninjau keadaan rumah yang ditinggalkan sempena musim perayaan kelak.

“Selain itu, saya juga menegaskan kepada pemilik rumah untuk jangan meninggalkan surat khabar yang dihantar di luar rumah kerana ia memberi isyarat kepada penjenayah bahawa kediaman tidak berpenghuni,” katanya. 

Tambah Omar, pihak polis kontinjen Sabah juga akan melancarkan Op Selamat yang bertujuan untuk memastikan keselamatan pengguna jalanraya ketika balik semasa musim perayaan terjamin. 

Katanya Op Selamat sempena musim perayaan ini akan dilancarkan pada Rabu depan,” katanya. – SabahNewsToday