Pilih Bahasa

POLIS TUARAN KENAL PASTI LOKASI SUSPEK KES TETAK DI TAMPARULI

Oleh Alfred Petrus

TUARAN: Polis mengesahkan telah mengenal pasti lokasi seorang warga Filipina dipercayai suspek dalam kes mencederakan seorang pengusaha sebuah inap desa menggunakan senjata tajam berhampiran kampung Kiwoi Tamparuli baru-baru ini.

Dzulbaharin ketika ditemui pemberita pada Hari Bertemu Pelanggan Polis Tuaran di Telipok Ria hari ini. Gambar SNT/Alfred Petrus

Namun, Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superitendan Dzulbaharin Ismail berkata penangkapan akan dibuat pada masa yang sesuai.

“Kita telah kenal pasti suspek dan kita dapat tahu lokasi suspek, cuma keadaan yang tidak sesuai untuk menangkap suspek buat masa ini.

“Maksudnya dari segi ancaman. Kerana lokasi tersebut boleh menyebabkan kehilangan suspek.

“Kita perlu menyusun strategi dan membiarkan suspek itu dalam keadaan yang leka atau ketika dia beranggapan yang beliau tidak ada melakukan kesalahan,” katanya ketika ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan Polis Tuaran di Telipok Ria pada Selasa.

Dzulbaharin berkata pihaknya akan menyelesaikan kes tersebut dalam masa terdekat.

Terdahulu, pada 24 Januari, berlaku salah faham antara mangsa yang juga warga Australia, 46, dengan suspek yang mengakibatkan suspek mengejar dan menetak mangsa menggunakan sebilah samurai di bahagian lengan dan belakang kepala mangsa kira-kira pukul 2.30 petang.

Suspek yang dikenali sebagai Roy itu berumur dalam lingkungan 30-an telah melarikan diri ke dalam hutan berhampiran dengan lokasi kes selepas menetak mangsa yang berkahwin dengan seorang warga tempatan itu.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. -SabahNewsToday